Sunday, 8 April 2012

PENGENALAN ILMU KETAMADUNAN

PENGENALAN:
Disiplin pengajian tamadun adalah bertujuan untuk memberi satu gambaran dan kepentingannya dalam mencorakkan kehidupan manusia yang berkebudayaan tinggi. Berdasarkan kepada kefahaman tersebut, ia menjadi satu landasan untuk membentuk satu kerangka pembinaan Negara yang bersesuaian dengan latar belakang masyarakat, system kepercayaan agama dan pelbagaian budaya. Justeru itu, keperluan untuk memahami konsep ketamaduan secara holistic adalah penting disebabkan ia dapat membuka minda untuk melihat persamaan dan perbezaan secara positif.
Kesedaran untuk melihat nilai-nilai sepunya yang dibahaskan dalam konteks ketamaduanan adalah perkara penting dalam mewujudkan suasana kesatuan dan perpaduan dalam kalangan rakyat khususnya di Malaysia. Pemerihalan nilai-nilai kemanusiaan yang dilatari dengan nilai-nilai murni dalam setiap aspek tamadun yang difokuskan akan memberi petunjuk bahawa perkongsian nilai-nilai universal dapat menyatukan tamadun-tamadun tersebut. Secara tidak langsung, perkongsian nilai-nilai sejagat tersebut dapat dijadikan sebagai pentas terhadap tamadun manusia untuk berinteraksi di antara satu sama lain.
Tambahan pula, kupasan berkaitan cirri-ciri sesebuah tamadun yang merangkumi factor-faktor kelahiran dan kelangsungannya juga adalah penting untuk meneliti aspek teori, kriteria, ketahanan dan cabaran yang dihadapinya. Melaluinya sedikit sebanyak dapat memberi satu sorotan tentang susur galur perkembangan tamadun-tamadun tersebut yang Berjaya memelihara dan mengekalkan nilai-nilai tradisinya sehinnga masa kini.
            Oleh itu, nilai-nilai tradisi tersebut perlu diketengahkan supaya tidak dilihat sebagai bahan sejarah dan sudah tidak praktikal lagi. Memandangkan generasi muda kini sudah mula lupa dengan pengajaran dan teladan sejarah peradaban manusia silam. Akibatnya, generasi tersebut mudah terdedah kepada budaya kebaratan yang berkiblatkan nilai-nilai hedonistic, materialistik dan budaya-budaya songsang yang lain. Jadi, fenomena yang berlaku tersebut, nilai-nilai asasi yang ada pada setiap tamadun perlu dipelihara dan disegarkan untuk dihayati dan dipraktikkan dalam kehidupan generasi pada masa kini dan mendatang.

No comments:

Post a Comment